PRN Sabah: Penyanyi Macam di KK’ mahu tanding di Kawang

0
3

Thaddius Unnip

Menyedari kurangnya perhatian diberikan terhadap nasib artis tempatan Sabah, Janrywine J Lusin, penyanyi yang popular dengan lagu Macam di KK’ menawarkan diri bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Dengan misi membela nasib artis Sabah dan membangunkan industri hiburan serta seni tempatan, Janrywine berkata beliau bersedia menggalas tanggungjawab mewakili golongan itu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketika dihubungi, beliau menyatakan harapan agar ada parti yang mahu mengambilnya menjadi calon dengan syarat menerima dirinya sebagai pejuang nasib artis.

“Saya bersetuju untuk bertanding jika ada parti yang mahu mengambil saya sebagai calon, namun mereka perlu menerima saya sebagai wakil anak seni kerana misi utama saya ialah untuk memperjuangkan nasib artis tempatan.

“Kalau ada parti yang bersetuju, saya memilih untuk dicalonkan di kerusi DUN Kawang, di Papar, sebab kampung saya. Kalau tidak pun kerusi baharu DUN Limbahau, juga di Papar,” katanya.

Janrywine yang juga Presiden Pertubuhan Orang Seni Tempatan Sabah (Post’s), berkata idea untuk membela nasib artis Sabah melalui perjuangan politik timbul selepas merasai kesukaran beliau berjuang sendiri dalam industri berkenaan.

Beliau mendakwa, artis tempatan tidak mendapat pembelaan sewajarya, malah berdepan pelbagai kekangan untuk mengembangkan kerjaya seni masing-masing disebabkan birokrasi pentadbiran.

“Contohnya, kalau kita memohon lesen hiburan perlu melalui Kementerian Dalam Negeri. Kementerian yang menjaga industri hiburan tidak dapat membantu dari segi memudahkan urusan.

“Dalam situasi pandemik Covid-19 sekarang, ramai artis tempatan tak dapat cari makan. Jadi, kalau ada satu kementerian khusus berkaitan seni yang bantu dalam semua aspek keperluan artis, saya percaya masalah artis dapat dibela.

“Saya juga mahu sebuah kementerian khas diwujudkan untuk bidang seni. Ia bukan saja untuk membela nasib artis, malah supaya kita dapat memelihara, membentuk dan memperkasa identiti bangsa kita di mata dunia,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Rekreasi Artis Sabah (Keras), berkata kalau tidak dicalonkan pada PRN, beliau berharap selepas ini ada artis Sabah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara atau Adun Dilantik yang dikhaskan untuk golongan artis.

Katanya, Sabah melahirkan ramai artis berbakat bukan saja untuk industri hiburan di negeri itu malah hingga di peringkat kebangsaan.