Isu kartel daging: Dr Zulkifli lawat Al Hilal Food dan Ramly Food

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini melakukan lawatan mengejut premis dua syarikat, susulan isu keyakinan status halal daging dan produk daging import.

Dua syarikat tersebut adalah Al Hilal Food Processing Sdn Bhd dan Ramly Food Processing Sdn Bhd.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kedua-duanya adalah pengimport daging dan produk daging sejuk beku dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Katanya, dua syarikat itu adalah antara syarikat yang melengkapi proses rantaian pensijilan halal sebagai pengimport produk daging halal dan pengeluar produk daging sejuk beku halal.

“Kedua-dua syarikat ini telah mematuhi sepenuhnya prosedur pensijilan halal dan undang-undang yang dikuatkuasa.

“Sebagai pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia, JAKIM bertanggungjawab untuk mempersijilkan halal produk-produk daging yang dihasilkan di dalam negara sahaja.

“Produk daging yang diimport masuk ke Malaysia pula perlu mendapat pengesahan halal daripada Badan Islam di negara pengeluar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata, bagi tujuan mendapatkan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk membawa produk tersebut masuk ke Malaysia, JAKIM bertanggungjawab membuat pemeriksaan verifikasi untuk mengesahkan loji sembelihan di negara pengeluar telah dipersijilkan halal oleh Badan Islam dan mematuhi standard ditetapkan kerajaan dari aspek hukum syarak.

“Ingin saya tegaskan bahawa, dalam urusan kawal selia kemasukan produk di pintu masuk negara, JAKIM tidak terlibat kerana di sana telah ada agensi bertanggungjawab untuk membuat pemeriksaan.

“Dapatkan berita daripada sumber sahih. Saya pasti, kita semua amat bersetuju isu ini tidak wajar dipolitikkan. Ini urusan ibadah umat Islam. Oleh itu, saya akan berusaha untuk memastikan pihak berautoriti menjalankan siasatan yang telus dan amanah.

“Pengguna dinasihatkan agar terus memilih produk-produk yang telah mendapat pensijilan halal Malaysia kerana telah melalui proses yang ketat berdasarkan standard ISO IEC 17065  sebagai Badan Pensijilan Halal,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan akan memastikan segala cadangan dikemukakan kepada JAKIM, akan diteliti sebaiknya demi keselesaan umat Islam.

“Saya juga yakin dengan doa semua, kemelut 40 tahun ini akan selesai dengan izin-Nya, insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here