3 individu positif Covid-19 di Pasar Besar Kedai Payang

0
2

PENGUNJUNG Pasar Besar Kedai Payang diminta berwaspada susulan terdapat kes positif Covid-19 dikesan terhadap tiga individu yang berkunjung ke lokasi popular di Kuala Terengganu itu, sejak minggu lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook miliknya mendedahkan perkara tersebut, hari ini.

“Walaupun hasil saringan mendapati tiada peniaga dijangkiti pandemik itu, tiga kes pengunjung yang didapati positif Covid-19 menunjukkan kita sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan lebih-lebih lagi dengan bilangan pengunjung yang ramai sekali gus menyebabkan kesukaran untuk mengamalkan penjarakan fizikal.

“Saya harap semua pihak terus menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan pastikan mendaftar MySejahtera, atau pada buku rekod kemasukan. Ini penting untuk tujuan mengesan kontak jika berlaku kes,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus menerusi kenyataan semalam berkata, tiada kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan bersasar kepada 126 peniaga di Pasar Payang.

“Tiada kes Covid-19 dikesan di Pasar Payang Kuala Terengganu hasil saringan bersasar yang dijalankan sebagai langkah pencegahan dan pengesanan awal oleh Jabatan Kesihatan berikutan terdapat sejarah beberapa kes positif Covid-19 telah pergi membeli belah di situ.

“Risiko jangkitan amat kurang jika semua peniaga dan pengunjung sentiasa mematuhi SOP ketika berurusan jual beli. Langkah ini perlu kerana kita tidak tahu status orang sekeliling kita.

“Mungkin mereka tiada gejala namun siapa tahu mereka mungkin pembawa virus Covid-19. Bukan hanya di Pasar Payang tetapi di semua premis yang ramai pengunjung,” katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, sehingga semalam Terengganu merekodkan pertambahan satu kes sembuh dan lima kes baharu Covid-19 menjadikan 16 kes Covid-19 aktif di negeri itu dengan jumlah keseluruhan 301 kes.

Kesemua 16 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu (15 kes) manakala satu kes di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here