RCI kartel daging, kerajaan bersedia – Zulkifli

0
2

KERAJAAN bersedia mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi isu kartel daging, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Beliau berkata kewajaran penubuhan RCI itu akan dibincangkan dalam pertemuan membabitkan kementerian berkaitan dalam masa dua tiga hari ini.

Beliau berkata, melalui pertemuan itu kelak, semua pihak akan melihat mana-mana kelemahan untuk diperbaiki dalam aspek status halal bekalan daging import di negara ini.

“Saya tidak kata perlu atau tidak (RCI) kerana perkara ini perlu didalami dengan baik dahulu dan saya tidak akan mengambil masa lama untuk menanganinya.

“Saya akan duduk semeja dengan JAKIM dan beberapa kementerian untuk melihat mana kelemahan untuk diperbaiki dan mengambil tindakan segera dalam bidang kuasa JAKIM dan kementerian lain secara bersepadu, ” katanya seperti dilapor BH.

Media sebelum ini melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel ini membungkus semula daging itu menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh negara.

Kegiatan itu terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor pada 1 Disember lalu yang diketuai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor bersama agensi penguat kuasa lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here