Pemuda Umno desak pasukan khas, dakwa dalang ke muka pengadilan

0
3

Najamuddin Mohd Nor

PEMUDA Umno mendesak penubuhan pasukan khas bagi menyiasat kegiatan kartel penyeludupan daging import haram yang diragui status halalnya.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan khas itu perlu ditubuhkan segera untuk mendedahkan dan mendakwa dalang yang terlibat ke muka pengadilan.

Katanya, siasatan segera secara bersepadu harus dilakukan melalui pasukan khas melibatkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi segera mendakwa dan mendedahkan individu dan syarikat yang terlibat serta disyaki dalam segala bentuk penyelewengan termasuk melibatkan rasuah.

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa menerusi maklumat dan beberapa bukti penting kegiatan berkenaan.

“Pemuda Umno juga telah memperoleh beberapa maklumat penting yang melibatkan agensi kerajaan dalam aspek pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan pemprosesan daging, rumah sembelih, dan loji pemprosesan hasilan haiwan di luar negara.

“Sebagaimana sedia maklum, urusan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap pemprosesan daging di luar negara melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama Pemuda UMNO membuat lapiran polis susulan kartel dilindungi oleh pihak tertentu menjalankan aktiviti menyeludup daging haram selama lebih 40 tahun.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan berhubung isu berkenaan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Pemuda Umno juga membangkitkan beberapa persoalan yang berlegar dalam kalangan rakyat agar dapat dijawab pihak berkuasa susulan isu kartel daging haram itu.

“Rakyat berhak mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai isu kartel daging haram termasuklah siapakah dalang yang bertanggungjawab menguruskan proses import daging sejuk beku yang diragui status halalnya.

“Mengapakah berlakunya monopoli kilang pemprosesan daging halal terutamanya di China, Thailand dan India?

“Kenapakah DVS hanya mengehadkan beberapa kilang sahaja di China, India dan Thailand untuk mengeksport ayam dan daging ke Malaysia?,” katanya.

Tambahnya, pihaknya menerima maklumat, kali terakhir dua kilang utama membekalkan ayam dan daging di China dibuat pemeriksaan adalah pada 20 Januari 2016.

“Apakah DVS dan Jakim melakukan pemeriksaan berkala setiap tahun untuk memastikan status halal?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here