Nurul Huda Abhar
KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan baharu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) yang akan berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2021.
Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa pelaksanaan pekeliling tersebut bertujuan untuk penambahbaikan terhadap dasar hubungan majikan-pekerja dalam perkhidmatan awam melalui MBK.
Bagaimanapun, katanya, keputusan pekeliling tersebut langsung tidak berunding serta melibatkan Cuepacs selaku wakil pekerja dan tiga MBK iaitu MBK Pekerja-Pekerja Pengurusan dan Profesional (MBK P&P), MBK Pekerja-Pekerja Sains dan Teknologi Dalam Kumpulan Pelaksana (MBK S&T) serta MBK Pekerja-Pekerja Am Dalam Kumpulan Pelaksana (MBK AM).
“Cuepacs berpandangan pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan yang melibatkan dasar hubungan majikan-pekerja perlu melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kewujudan MBK kekal relevan dan mampu menjadi salah satu dasar penting dalam perkhidmatan awam.
“Bagaimanapun tindakan JPA yang melaksanakan Pekeliling Perkhidmatan ini tanpa rundingan daripada Cuepacs seolah-olah cuba menghapuskan rundingan triparti melibatkan wakil pekerja, JPA dan kerajaan.
“Situasi ini memberi gambaran JPA cuba menghapuskan peranan kesatuan pekerja sehingga boleh mencetuskan suasana atau hubungan tidak harmoni antara majikan dan pekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Adnan, pihaknya memohon JPA menangguhkan dahulu pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan mengenai MBK itu sehingga rundingan dilakukan dengan Cuepacs dan semua ahli dalam ketiga-ketiga MBK tersebut.
“Sekiranya JPA bertegas mahu melaksanakan juga pekeliling ini, Cuepacs akan membawa perkara ini ke pengetahuan Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost

