Memperkasa sektor awam jadi agenda utama kerajaan – PM

0
2

CABARAN menghapuskan pandemik Covid-19, tidak menghalang usaha memperkasa sektor awam yang menjadi satu daripada agenda utama kerajaan, untuk memastikan sistem perkhidmatan yang cekap, telus dan mesra rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, tanggungjawab penjawat awam kini untuk membudayakan norma baharu dalam cara kerja, supaya perkhidmatan itu tetap dapat disampaikan secara efektif kepada golongan sasar, di samping meningkatkan produktiviti kerja.

Beliau berkata, pada peringkat kerajaan pula, penting inisiatif untuk menambah baik aspek integriti dan tadbir urus kerajaan dilaksanakan, misalnya dilakukan melalui usaha membanteras amalan rasuah bagi memastikan kecekapan dan ketelusan pengurusan pentadbiran.

“Oleh kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) antara warga kerja barisan hadapan yang sering terdedah dengan tarikan rasuah, usaha membanteras jenayah ini perlu kekal sebagai agenda penting yang perlu dilaksanakan meluas dalam kalangan penjawat PBT.

“Ini agar kita dapat mewujudkan budaya kerja yang berintegriti tanpa berkompromi dengan mana-mana nilai dan etika,” katanya ketika berucap merasmikan secara maya Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia kali ke-27, hari ini.

Sementara itu, beliau turu menyeru agar PBT dan agensi yang berkaitan dapat turun ke lapangan dengan lebih kerap untuk meninjau dan memahami keadaan semasa dan meneliti isu-isu berhubung warga kakitangan mereka yang saban masa bertemu dengan orang ramai untuk menyelesaikan urusan seharian.

“Saya sedar dan prihatin terhadap kebajikan para penjawat awam termasuk barisan petugas hadapan yang turut menjadi sebahagian daripada anggota kakitangan awam yang menggadaikan masa dan tenaga untuk melindungi kita sewaktu pandemik ini,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here