Muhammad Mustakim Ramli
KETUA Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin yang Ketua Pemuda Perikatan Nasional mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, hari ini.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata pengalaman, latar profesionalisme dan kepakaran Khairil Nizam diharapkan dapat digembeling sepenuhnya dengan cerminannya bukan sahaja perlu diterjemahkan dalam sesi persidangan tetapi meliputi semua aspek agar sesuai dengan kedudukan Dewan Negara selaku badan legislatif tertinggi negara.

“Di kesempatan ini, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan Dewan yang mulia ini mengalu-alukan pelantikan Ahli Dewan Negara yang baharu iaitu YB Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.
“Telah dibawa kepada pengetahuan saya bahawa terdapat Ahli-ahli Yang Berhormat selepas menekankan butang kedatangan, tidak lagi dilihat dalam Dewan pada hari berkenaan. Saya berharap perkara seperti ini segera ditiadakan dan hendaklah Ahli-ahli Yang Berhormat semua mengingat kembali lafaz taat setia ketika kita mengangkat sumpah.
“Kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, tanggungjawab sebagai Ahli Senat mesti dilunaskan dengan sebaik mungkin. Jalur pemikiran hendaklah diketengahkan secara tuntas, berwibawa serta intelektual mencakupi dan mewakili semua suara kelompok rakyat tanpa ada yang tercicir,” katanya, hari ini.
Beliau berkata sehubungan itu, besarlah harapan agar isu-isu berkepentingan rakyat disambut oleh semua bukan sahaja dalam sesi perbahasan di Dewan, tetapi juga disalurkan sama melalui Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat dan juga jawatankuasa-jawatankuasa lain yang bakal dibentuk kelak.- Malaysiapost
