Umno, BN perlu berubah dan berani demi PRU-15 – Pemuda Umno Johor

0
2

UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu berubah dan berani menerima penglibatan parti lain untuk mengukuhkan jentera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor , Mohd Hairi Mad Shah berkata, tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dapat menginsafkan Umno dan BN.

Katanya, sejak dari PRU-14, sewajarnya BN perlu berubah demi memastikan parti kembali dapat diterima oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“BN perlu keluar dari gerak kerja biasa sehingga dilihat orang luar terlalu eksklusif sehingga menyebabkan kekalahan parti dalam PRU lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pergerakan Pemuda Umno Johor menyokong dan menyambut baik saranan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya BN membina kekuatan baharu termasuk menerima penyertaan beberapa parti politik yang sebelum ini menjadi rakan mereka.

“Tok Mat (Mohamad Hasan) memaklumkan BN tidak lagi boleh bersifat eksklusif dan beliau secara peribadi berpendapat penglibatan lebih banyak parti akan menambah kekuatan kepada BN.

“Itulah yang perlu dilakukan oleh BN sejak PRU-14 iaitu menambah kekuatan baharu.

“BN tidak boleh kekal ditakuk lama kerana persaingan bagi menghadapi PRU-15 pasti lebih mencabar.

“Perubahan secara total perlu dilakukan BN demi memastikan parti kembali dapat diterima rakyat dengan kekuatan baharu yang lebih mantap dan tersusun bagi mentadbir negara tercinta ini.

“Apa yang penting, kita perlu membina dan meningkatkan kembali kepercayaan rakyat dan buktikan kepada rakyat bahawa BN adalah sebuah parti yang inklusif bukan eksklusif,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, segala amalan dan sikap sebelum ini perlu diubah suai.

“Dasar-dasar dan asas BN perlu dikaji semula supaya dua hala tuju yang perlu dilakukan iaitu perkasakan parti dan susun strategi untuk menang PRU-15,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pergerakan Pemuda Umno Johor turut menyokong dan menyambut baik saranan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki supaya kerajaan menubuhkan pasukan khas siasatan dan mendedahkan segera syarikat kartel daging haram.

Katanya, isu berkenaan telah memberikan keraguan umat Islam terhadap status halal daging import yang berada dalam pasaran ketika ini.

“Isu ini juga perlu diselesaikan secara tuntas oleh pihak berwajib kerana ia membabitkan soal maruah dan makanan halal umat Islam.

“Penyelesaian secara bermaruah perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang spekulasi negatif terhadap pihak berkenaan dan menjamin daging yang dijual tidak diragui status halalnya.

“Pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan. Seperti kenyataan Dr Asyraf Wajdi, biar siapapun terlibat, pangkatnya mereka tidak boleh dilindungi. Ia melihatkan maruah umat Islam,” tegasnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here