Nilam Oshman
STATUS hubungan antara Neelofa dan Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan PU Riz masih belum berterungkai, namun beliau menafikan semua andaian yang diperkatakan sejak semalam.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor menjelaskan mengenai status hubungan terkininya bersama Haris, bahawa mereka masih dalam perbincangan dan keluarga masing-masing sedang mencari jalan menyelesaikan.
“Apa yang mampu saya katakan, setiap hubungan itu ada cerita-cerita yang tersendiri dan tidak manis untuk saya mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarga saya.
“Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya, dan keluarga Haris, kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian.
“Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas pengacara Meletop itu turut memohon maaf kepada keluarga dan juga bakal mertuanya untuk segala perkara yang berlaku.
“Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami masih belum pun ada apa sebarang ikatan.
“Kepada keluarga saya, Terima kasih yang tidak terhingga ingin saya ucapkan.
“Sokongan, kasih sayang yang ditunjukkan, teguran yang diberikan, saya hargai dengan setulus hati,” katanya.
Sementara itu, Neelofa turut mengulas berkenaan dengan perkara yang sedang tular semenjak petang sabtu semalam.
Katanya, pelbagai cerita dan andaian yang telah keluar tentang dirinya dan keluarga.
Berikutan itu, Neelofa memberikan penjelasan penuh berkaitan beberapa hal yang dibualkan di media sosial.
“Saya berharap, semua pihak dapat memahami apa yang saya ingin sampaikan dan seterusnya tidak terus membuat andaian mengenai perkara yang tidak betul tentang diri saya, Haris serta keluarga kami.
Katanya, antara andaian dan tuduhan yang muncul di media sosial semenjak semalam adalah kononnya terkena buatan minyak pengasih.
“Cerita itu adalah tidak benar sama sekali dan sejujurnya, ia merupakan satu tuduhan yang amat berat.
“Alhamdulillah, seperti yang anda lihat sekarang saya berada dalam keadaan baik, dan kesihatan yang terbaik.
“Saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya,” katanya.
Manakala tuduhan kedua, kononnya beliau memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada tunangnya.
“Saya menyangkal tuduhan tersebut dan perkara itu adalah tidak benar sama sekali,” tegasnya.
Tuduhan ketiga pula mengatakan beliau telah pun melangsungkan perkahwinan dan telah dinikahkan oleh bapanya sendiri di Kelantan.
Neelofa menjawab, andaian itu juga adalah satu tuduhan yang sangat tidak benar dan tidak berasas.
“Saya mohon kepada semua pihak untuk tidak terus menerima andaian berkenaan bulat-bulat dan mengambil masa sejenak untuk memahami ketidakwajaran tuduhan ini,” katanya.
Sehubungan itu, Neelofa meminta kerjasama semua pihak untuk sama-sama memahami dan dapat memberikannya ruang yang sewajarnya.
“Harap perkara ini tidak lagi akan berpanjangan. Terakhir, saya perlukan doa-doa anda buat saya.
“Terima kasih juga untuk segala sokongan yang diberikan. Saya sangat hargai,” katanya. -Malaysiapost

