TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub mencabar Datuk Seri Najib Razak supaya memperjuangkan penubuhan
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu kartel daging.
Cabaran itu dibuat selepas beliau dipercayai tidak berpuas hati dengan dakwaan Najib bahawa isu kartel daging import berlaku ketika zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“Amboi. Mulut tak ada insurans. Kalau berani mari sama-sama perjuangkan supaya RCI ditubuhkan untuk siasat kes ni.
@NajibRazak,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.
Terdahulu, Najib mendakwa isu kartel daging diragui halal yang dilaporkan telah berlaku sejak 40 tahun lalu tidak pernah timbul sepanjang tempoh beliau bergelar Perdana Menteri dari 2009 hingga 2018.
Najib berkata, walaupun media melaporkan ia telah berlaku sejak 40 tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menerima apa-apa aduan rasmi berhubung perkara itu.
Menurutnya, beliau juga telah memeriksa perkara tersebut dengan menteri-menteri berkaitan pada masa itu dan mereka mengesahkan tiada aduan pernah diterima selain media juga tidak pernah menimbulkan isu itu sepanjang tempoh berkenaan.
“Setelah dikaji, rupa-rupanya isu ini pertama kali dilaporkan pada Oktober 2019 tahun lepas,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata, pada waktu itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Timbalannya, Fuziah Salleh menolak dakwaan itu.
Malahan, katanya, pada masa tersebut juga, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lantikan politik PH, Latheefa Koya turut berjanji untuk menyiasat perkara itu dan akan mendedahkan keputusan siasatan kemudiannya. -Malaysiapost

