Kluster Sivagangga: Kerajaan tak sekat rentas negeri

0
3

Kerajaan tidak bercadang menyekat perjalanan merentas negeri ke negeri tertentu yang mencatatkan kes positif Covid-19 agak tinggi, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata kerajaan kini memberi fokus secara bersasar di kawasan yang mempunyai kes positif Covid-19 seperti dilaksanakan ketika ini di Kedah dan Perlis.

“Kita tidak lagi mengehadkan perjalanan seluruh negeri, kita fokus secara bersasar di kawasan yang dikesan ada kes positif.

“Menerusi cara ini, penduduk di sesuatu kawasan itu tak boleh keluar… bukan seluruh negeri Kedah atau Perlis misalnya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk melaksanakan arahan rentas negeri, khususnya di negeri merekodkan kes positif Covid-19 yang tinggi seperti Kedah dan Perlis, disebabkan Kluster Sivagangga.

Mengenai sama ada kerajaan akan mengenakan hukuman lebih tegas ke atas individu ingkar kuarantin wajib, katanya, tindakan diambil berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Terpulang kepada budi bicara polis sama ada mengenakan kompaun atau membawa individu terbabit ke mahkamah,” katanya.