Helang Merah sambar ‘David Seaman’

0
2

KEDAH berjaya menyambar ‘David Seaman’ Malaysia dengan melantiknya sebagai jurulatih penjaga gol skuad itu, baru-baru ini.

Bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamed yang sebelum ini menjadi jurulatih penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT) telah memilih Kedah sebagai destinasi terbaru untuk beliau terus mencurahkan pengalaman luasnya menjaga gawang gol.

Khairul Azman, mengakui beliau cukup teruja untuk memulakan karier baharu di negeri jelapang padi itu selepas berkhidmat bersama skuad Harimau Selatan sejak 2013.

“Pertama saya mahu mengucapkan terima kepada kepada pasukan Kedah FC, di bawah Ketua Pegawai Eksekutif Khamal Idris Ali (juga bekas pemain Kedah 90an) yang memberikan kepercayaan kepada saya sebagai jurulatih penjaga gol mereka.

“Sudah tentu saya bersama pegawai kejurulatihan lain akan berusaha keras membantu jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk melakarkan pencapaian positif pada musim akan datang,” katanya.

Anak jati kelahiran Pahang itu pernah dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik asia pada tahun 1995, dikenali sebagai David Seaman Malaysia kerana mempunyai ketinggian 1.90 meter dengan penampilan rambut panjang bertocang persis bekas penjaga gol lagenda England dan Arsenal itu.

Memulakan karier profesional pada tahun 1985 bersama Pahang sebelum 20 tahun kemudian bersara dengan pasukan Sabah, nama Khairul Azman mula meniti bibir peminat bolasepak ketika membantu skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka edisi 1993.

Setahun sebelum itu, Khairul Azman membantu negara muncul juara di peringkat antarabangsa dengan memenangi Piala Kemerdekaan Indonesia.

Dalam pada itu, Khairul Azman juga mengucapkan penghargaan terima kasih kepada warga bolasepak JDT, terutama kepada pimilik kelab itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Perjalanan karier jurulatih saya bermula dengan JDT semasa Fandi Ahmad jadi jurulatih dan saya mahu mengambil peluang untuk berterima kasih kepada Tunku Ismail yang menberikan kepercayaan kepada saya menjadi jurulatih (penjaga gol) JDT.

“Lebih manis, saya telah berjaya memenangi Piala AFC pada tahun 2015 di mana itulah pencapaian terbaik dalam karier saya sebagai staf kejurulatihan.

“Tidak dilupakan juga pencapaian JDT dalam aksi domestik seperti Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia di mana saya sangat berbangga menjadi sebagai salah satu lipatan sejarah dalam kelab ini.

“Kontrak saya bersama JDT tamat pada tahun lalu dan saya masih giat dalam aktiviti kejurulatihan serta tahap kecergasan walaupun tidak terikat dengan mana-mana pasukan pada tahun ini bagi memastikan kondisi saya berada di tahap terbaik.

“Biarpun saya kini bersama pasukan Kedah, saya sentiasa menghormati Tunku Ismail yang sentiasa mengambil berat tentang diri saya, karier saya dan segala jasanya hanya Allah SWT sahaja mampu membalasnya,” katanya yang dipetik daripada portal cakapsukan.com.

Jodoh Khairul Azman bersama JDT telah bermula pada tahun 2013, dan beliau telah membantu skuad harimau selatan itu mencipta sejarah baharu sebagai kelab pertama dari Asia Tenggara menjulang trofi Piala AFC pada tahun 2015.

Kini, Khairul berkata, visi dan misinya adalah fokus kepada pasukan barunya Kedah FC dan akan menberi segala jiwa raganya dengan skuad Helang Merah itu.

“Saya mahu membantu Kedah FC terus melanjak lagi jauh dengan apa jua pengalaman yang saya ada saya akan curahkan untuk pasukan baru saya ini.” katanya.

Pada zaman kegemilangannya sebagai pemain bolasepak, Khairul Azman telah berjaya mengecapi trofi Liga Premier (kini dijenamakan sebagai Liga Super) dan Piala Malaysia pada tahun 1992 bersama Pahang, juara Piala FA 1995 dan 1996 bersama Sabah. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here