‘Grand Coalition’ formula ajaib rampas Putrajaya – Mat Sabu

0
3

Najamuddin Mohd Nor

PARTI Amanah Negara (Amanah) yakin dengan cadangan formula gabungan mega parti-parti pembangkang dapat merampas kembali tampuk pemerintahan negara pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, semua pihak perlu mencari satu titik persamaan seperti pilihanraya lalu, membina ‘grand coalition’ yang ampuh dalam misi mengambil alih semula Putrajaya.

Menurut Mohamad Sabu, faktor kejayaan pakatan pembangkang menumbangkan kerajaan pada pilihanraya umum lalu bukan bergantung kepada ketokohan ikon para pemimpinnya, tetapi kerjasama erat setiap parti kompenen Pakatan Harapan (PH) juga perlu diambil kira.

“Benar, kemenangan kita dalam PRU ke-14 dimungkinkan kerana gandingan dua tokoh lagenda dan negarawan Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim. Menurutnya, ini yang perlu diakui.

“Namun faktor penentu dalam menjayakan cita-cita kita untuk menumbangkan kerajaan Kleptokrat Najib-BN ialah penampilan satu ‘Grand Coalition’ yang padu atau satu ‘Koalisi Raksasa’, yang menggembleng seluruh tenaga pembangkang bersama rangkaian NGO.

“Kita wajar mencari sentuhan ajaib seperti PRU lalu untuk kembali melakar strategi bagi menjayakan impian untuk memenangi kembali Putarajaya dalam PRU ke-15 akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Amanah Nasional hari ini.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Kota Raja itu mengakui, Amanah sebagai parti setahun jagung terpaksa menempuhi pelbagai onak dan ranjau sebelum berjaya bersama PH merampas Putrajaya pada pilihanraya umum lalu.

Namun, bekas Timbalan Presiden PAS itu berkata, parti serpihan PAS itu masih boleh berbangga kerana parti semuda itu mampu mencapai kejayaan meskipun tidak setanding dengan parti-parti lain yang lebih besar dan mempunyai para pemimpin yang berwibawa

“Memenangi 11 kerusi Parlimen dan mempunyai 33 anggota Ahli Dewan Undangan (Adun) di beberapa negeri bukanlah satu pencapaian yang kecil.

“Parti yang bertekad berdiri di atas pegangan Islam yang Rahmah dan Inklusif serta menolak fahaman ekstremisme agama ini, semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here