Satu laporan polis terhadap penularan berita palsu kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya, hari ini.
Pegawai Khas Abdullah, Datuk Jefridin Atan, berkata penularan berita palsu mengenai kematian kali kedua dalam tempoh seminggu itu menimbulkan rasa tidak senang ahli keluarga Pak Lah.
“Ini juga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam apabila berita palsu ini membabitkan orang kenamaan seperti bekas Perdana Menteri,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Jefridin bersama beberapa pegawainya memasuki IPD Putrajaya kira-kira jam 10 pagi dan selesai membuat laporan kira-kira sejam setengah kemudian.
Kelmarin, berita palsu menerusi penularan tangkap layar paparan Facebook yang mengaitkan kematian Pak Lah.
Terdahulu, pada 2 Ogos lalu, mesej sama turut ditularkan di aplikasi Whatsapp namun berita palsu itu dinafikan Pejabat Tun Abdullah dan menyatakan bahawa kesihatan bekas pemimpin negara itu dalam keadaan baik.
Abdullah, 81, adalah Perdana Menteri Malaysia kelima dari tahun 2003 hingga 2009.

