PENYANYI dangdut Indonesia, Dewi Perssik menzahirkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya bertambah baik selepas disahkan positif wabak Covid-19.
Dewi atau mesra disapa Depe turut berkongsi di laman Instagram (IG) simptom-simptom yang dialaminya iaitu timbul ruam merah di wajah dan tubuh badan.
Menurut Depe, disebabkan dirinya disahkan positif Covid-19 maka dia terpaksa berehat daripada sebarang aktiviti seni sejak sebulan lalu.
“Alhamdulillah, Allah masih beri kesempatan untuk saya sihat. Saya sekarang sudah sembuh sepenuhnya. Saya salah seorang yang beruntung kerana sudah sembuh selepas membuat ujian saringan sebanyak dua kali,” katanya.
Tambahnya, kesibukan atas urusan kerja antara punca dia dijangkiti virus terbabit.
Selain itu, Depe juga mengingatkan orang ramai bahawa wabak pandemik itu sememangnya sangat merbahaya.
“Ini satu renungan dan teguran buat saya selain dapat menghapuskan dosa-dosa saya. Percayalah bahawa Covid-19 ini benar,” katanya.
Katanya, wabak berbahaya ini boleh mengancam nyawa manusia namun dia bersyukur penyakit terbabit tidak memberi kesan teruk kepada dirinya.
“Yang lebih berbahaya itu kepada orang tanpa gejala seperti individu itu berasa dirinya sihat sehingga tanpa sedar sudah membuatkan orang lain turut sama dijangkiti terutama orang yang sudah berusia dan mempunyai penyakit lain,” ujarnya. -Malaysiapost

