Lebih 200 cedera, polis maut protes tunjuk perasaan di Lubnan

0
3

Sekurang-kurangnya 238 orang cedera dan seorang pegawai polis terbunuh semalam, selepas rakyat melakukan demonstrasi di Beirut bagi menyatakan kemarahan terhadap insiden dua letupan di pelabuhan berhampiran ibu kota, Selasa lalu.

Ratusan penunjuk perasaan menyerbu bangunan kerajaan dan melemparkan batu dan molotov cocktail, manakala polis bertindak balas dengan menggunakan pemedih mata dan peluru getah semasa pertempuran ganas tersebut.

Pertempuran itu berlangsung selama berjam-jam di sekitar jalan di ibu negara Lubnan.

Perdana Menterinya, Hassan Diab berkata, beliau akan membawa orang yang bertanggungjawab menyebabkan tragedi letupan itu dan tidak akan terlepas daripada menerima balasan.

“Dalang yang bertanggungjawab terhadap malapetaka ini pasti akan menerima balasan,” katanya seperti dilaporkan Metro.uk.com.

Sementara itu, pelajar universiti, Tarek, 23 yang sedang menyiapkan campuran air dan cat dalam botol untuk dilemparkan kepada polis berkata, pimpinan pemerintahan sekarang perlu berakhir.

“Kami mahukan kematian Lubnan lama dan kelahiran yang baru, tidak ada protes pendamaian yang akan membawa perubahan,” ujarnya.

Pengaturcara (Programmer) komputer, Sandy Chlela, 35, dari Kousba Utara, berkata, dia tidak bersetuju dengan Tarek.

“Saya tidak rasa tunjuk perasaan itu akan membawa perubahan, tetapi demonstrasi itu merupakan cara untuk kita tunjukkan kemarahan dan memberi tekanan kepada ahli politik.

“Saya tahu ia tidak membawa banyak perubahan tetapi kita tidak boleh berdiam diri seolah-olah tidak ada apa yang berlaku,” katanya lagi.

Tragedi berkenaan telah mengorbankan 158 nyawa dan hampir 6,000 orang cedera, disifatkan berpunca daripada ketidakcekapan kepemimpinan.

Ia kerana pihak pemerintah mengetahui beribu-ribu tan ammonium nitrat disimpan di situ selama bertahun-tahun tanpa melakukan apa-apa tindakan.