Fitri Nizam
[Parlimen] Kerajaan kini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan penubuhan majlis khas bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Hanifah Taib, berkata penubuhan majlis itu yang merupakan forum khusus untuk membincang dan memantau pelaksanaan MA63 dengan kerajaan Sabah serta Sarawak, akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.
Katanya, status pelaksanaan 17 daripada 21 perkara yang dibentangkan dalam Jawatankuasa Khas MA63, dijangka memerlukan tempoh untuk satu hingga dua tahun dilaksanakan.
“Baki empat perkara lagi yang belum diselesaikan seperti bayaran royalti minyak, bayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak serta Akta Wilayah dan Akta Pelantar Benua 1966 akan diteruskan majlis khas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dibarisi menteri Kabinet dan wakil kerajaan Sabah serta Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) meminta Hanifah menyatakan usaha mewujudkan jawatan kuasa khas bagi meneruskan perbincangan mengenai penyelesaian komersial dalam tuntutan hak minyak dan gas Sarawak.
Hanifah berkata, Perdana Menteri sudah memberi mandat kepada Menteri Kewangan dan Menteri Kerja Raya untuk membincangkan isu minyak, gas dan pemberian khas dengan kerajaan Sarawak dan Petronas bagi mencapai penyelesaian komersial.
“Perbincangan dengan Sabah akan menyusul selepas ini,” katanya.

