SEORANG pesara guru kerugian RM1.8 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam, November lalu.
Mangsa wanita berusia 66 tahun itu mula terpedaya selepas dihubungi seorang lelaki pada 28 Oktober lalu yang mendakwa dirinya terlibat kes penipuan dan pengubahan wang haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superitendan Aibee Abd Ghani berkata suspek memperkenalkan diri sebagai Sarjan Albert Lai dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuantan, Pahang.
“Pada 31 Oktober, mangsa dihubungi suspek lain yang mendakwa inspektor dari Bukit Aman dan meminta butiran maklumat akaun simpanan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian diminta mengeluarkan semua wang di dalam akaun simpanannya untuk siasatan polis.
“Mangsa juga diminta merahsiakan semua perkara itu daripada ahli keluarga kononnya bagi menjamin keselamatan anak-anaknya.
“Disebabkan percaya, mangsa mengikut segala arahan dan turut menyerahkan sekeping kad pengeluaran wang automatik (ATM) kepada suspek.
“Dalam tempoh 6 sehingga 26 November, mangsa membuat 148 transaksi terhadap pelbagai akaun dengan nilai wang keseluruhan RM1,824,714.83,” katanya.
Aibee berkata, mangsa yang menyedari tertipu membuat laporan polis semalam. – Malaysiapost

