Kartel daging: Henti beri pandangan yang menjejaskan kredibiliti pensijilan halal

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta semua pihak tidak memberi sebarang ulasan dan pandangan yang boleh menjejaskan kredibiliti pensijilan halal berhubung isu kartel daging.

Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata perkara itu secara tidak langsung boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan boleh menjejaskan pengimport dan pengusaha industri daging negara yang telah mendapat pengesahan halal yang sah.

“Sebarang komentar yang tidak disertakan dengan bukti yang kukuh boleh menyebabkan timbulnya isu lain yang dikhuatiri menjejaskan kepercayaan terhadap pensijilan halal Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir/loji pemprosesan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jakim.

“Daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga memaklumkan pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sebelum daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk ke pasaran negara ini.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai isu penyeludupan daging dan penyalahgunaan kuasa hendaklah melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

“Sehubungan itu, dimohon semua pihak untuk menghormati proses tindakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan semoga pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini dapat dibawa ke muka pengadilan sewajarnya,” katanya. -Malaysiapost

Foto Kredit: Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here