Dividen ASB: ‘Ramai yang rindukan zaman BN’ – Puteri Umno

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

RAMAI rindu zaman BN (Barisan Nasional), kata Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan.

Beliau berkata luahan rakyat itu diterimanya selepas masing-masing kecewa dengan kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diumumkan, hari ini.

Katanya, ia adalah kadar dividen ASB yang terendah dalam sejarah setelah dividen 5.5% tahun lepas juga yang terendah dalam sejarah.

“Rakyat dihujani pelbagai berita yang mendukacitakan sejak kebelakangan ini oleh kerajaan.

“Apa yang boleh diharapkan daripada kerajaan yang mempunyai barisan menteri-menteri yang paling ramai di dunia?

“Takkan lah tidak ada bijak pandai di kalangan mereka yang boleh menceriakan rakyat?,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, alasan paling utama yang digunakan adalah Covid-19 dan ia mendukacitakan rakyat kerana negara lain yang sama terjejas juga mencatatkan perkembangan positif.

“Kerajaan sekarang harus mengembelengkan segala tenaga dan berusaha untuk membaik pulihkan negara yang sangat tenat sekarang.

“Biarlah rakyat bangun dengan keceriaan dan bersemangat untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Saya terima banyak mesej-mesej dan luahan, kata mereka, “Rindu Zaman BN”,” katanya.

Terdahulu, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran 5.00 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Ia membabitkan pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit dan juga pengagihan ehsan 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB sempena ulang tahun ke-30 dana amanah itu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here