SARANAN untuk menaikkan semula tempoh kuarantin wajib bagi pelawat asing kepada 14 hari dibuat bagi mengurangkan risiko mutasi baharu Covid-19 merebak ke Malaysia hingga mencetuskan gelombang ke-4, kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu berkata, saranan yang sama juga dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) susulan mutasi baharu Covid-19 di United Kingdom (UK).
Beliau berkata, mutasi itu dilaporkan merebak dengan kadar 70 peratus lebih laju dan amat mudah menjangkiti kanak-kanak.
“Menaikkan semula tempoh kuarantin bagi pelawat asing bukan memberi impak besar bagi ekonomi Malaysia pun sebab pelawat asing yang tanggung kos kuarantin – bukan kerajaan.
“Saya cuma buat saranan tersebut sebab saya mahu kurangkan risiko virus mutasi ini merebak ke Malaysia dan mencetuskan gelombang ke-4 pada masa jumlah kes baru setiap hari sedang cecah 2,000 kes,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Najib berkata, beliau adalah antara orang pertama yang mengecam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak melarang kemasukan pelancong dari China pada Januari lalu.
“Saya juga orang yang suruh kerajaan tarik balik keputusan untuk membenarkan pelawat asing kuarantin di rumah dan bukan lagi di pusat kuarantin dikawal kerajaan pada bulan Julai lalu.
“Yang follow FB (ikut Facebook) saya tahu bahawa saya buat banyak posting masa itu (serta berbahas di Parlimen) untuk tarik balik keputusan kuarantin rumah itu kerana saya bimbang ia akan cetuskan gelombang baru Covid-19 pada ketika kita tidak ada penularan tempatan.
“Malangnya, kebimbangan saya terbukti benar apabila kerajaan terlalu lambat untuk tarik balik keputusan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, Kluster Sivagangga yang berpunca dari seorang individu yang melanggar kuarantin rumah setelah pulang dari India telah menyebabkan gelombang baru dan menyebabkan lebih 10,000 kes dan kematian berpuluh orang.
“Akibatnya, gelombang baru Covid yang lebih besar tercetus.
“Jadi, sebab apa nak kecam saya jika saya cuma mahu kerajaan mengurangkan risiko pada ekonomi dan keselamatan Rakyat Malaysia?,” soalnya. -Malaysiapost

