MAJLIS Pimpinan Negeri PKR Sarawak sebulat suara menolak keputusan Larry Sng untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR negeri.
Keputusan itu dimuktamadkan selepas parti berkenaan mengadakan satu mesyuarat tergempar malam tadi.
Ketua Penerangan PKR Sarawak, Abun Sui Anyit berkata, Majlis Pimpinan Negeri memberikan sokongan penuh kepada Larry sehingga pemilihan parti akan datang.
“Justeru ahli-ahli Keadilan (PKR) di seluruh Sarawak diminta bertenang dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada semua kepimpinan parti dari peringkat pucuk pimpinan sampai ke cabang.
“Keadilan Sarawak juga menyeru kepada cabang-cabang dan ahli-ahli Keadilan seluruh Sarawak agar terus bersatu dan menumpukan kepada usaha yang berterusan dalam memperjuangkan dan membela nasib rakyat di setiap cabang dan kawasan masing-masing,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kelmarin, Larry mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PKR Sarawak untuk membolehkan parti itu dipimpin pemimpin Dayak sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) tahun depan.
Larry dalam kenyataan berkata, keputusan itu demi kepentingan PKR Sarawak memandangkan majoriti penduduk Sarawak ialah orang Dayak.
Adun Julau itu berkata, majoriti penduduk Sarawak adalah orang Dayak, namun didapati kawasan termiskin dan mundur di negeri berkenaan berada di kawasan Dayak.
Justeru, Larry yakin parti itu akan mendapat pengganti yang baik walaupun beliau dipilih mewakili kerusi Parlimen yang dominan Dayak dan mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau akan membincangkan keputusan itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari ini bagi membincangkan peralihan dan pemilihan penggantinya.
Larry pertama kali bertanding di bawah tiket Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDP) pada pilihan raya negeri 2001, ketika menggantikan bapanya sebagai wakil rakyat DUN Pelagus.
Beliau berkhidmat dua penggal sebagai Adun BN untuk Pelagus dari 2001 hingga 2011 dan dilantik sebagai pembantu menteri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud pada tahun 2004.
Dia kemudian mewakili Parti Rakyat Sarawak dan Parti Pekerja Sarawak sebelum menyertai PKR selepas menang parlimen Julau sebagai calon bebas pada PRU 2018.
Dia dilantik sebagai pengerusi PKR Sarawak pada Mac ini.
PRN Sarawak kali terakhir diadakan pada Mei 2016 dan dengan itu, pemilihan mesti diadakan pada tahun 2021. – Malaysiapost

