KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) didakwa lambat mendapatkan vaksin Covid-19 untuk rakyat negara ini.
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata negara jiran, Singapura minggu lalu dilaporkan telah menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer Covid-19.
Sebaliknya, katanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula baru mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin.
“Singapura adalah negara Asia pertama yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech setelah mengatakan minggu lalu bahawa ia telah meluluskan vaksin syarikat itu dan diharapkan akan memulakan program vaksinasi secara meluas pada minggu pertama Januari.
“Malaysia? Perdana Menteri baru saja menandatangani perjanjian untuk mendapatkan tambahan 10 peratus atau 6.4 juta dos vaksin Covid-19 untuk 40 peratus penduduk melalui Covax, Pfizer dan AstraZeneca,” katanya.
Sementara itu, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Bersatu, Datuk A Kadir Jasin turut membidas kelewatan kerajaan mendapat bekalan vaksid Covid-19 untuk rakyat negara ini.
Katanya, bakal presiden Amerika Syarikat, Joe Biden hari ini menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNtech yang disiarkan secara langsung di televsyen.
“Tetapi Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) berkata, bahawa akan mengambil masa empat bulan untuk menilai (keberkesanan) vaksin itu.
“Ada yang tidak kena di sini. Sama ada Presiden AS itu berani sangat atau bodoh ataupun Noor Hisham Abdullah telah ketinggalan masa.
“Adakah kita mampu untuk menunggu empat bulan lagi ketika seluruh dunia bergegas melakukan vaksinasi?” katanya katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Kadir, dia berharap Dr Noor Hisham masih berkuasa dalam urusan kesihatan, khususnya mengenai Covid-19 dan berharap kenyataannya untuk menunggu selama empat bulan itu sebenarnya disalahtafsirkan oleh media. -Malaysiapost

