Tok Mat tanding di Rembau belum pasti, kata Presiden Umno

0
3

Hasrat Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti masih belum muktamad.

Memetik laporan Bernama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN belum mengenal pasti calon yang akan bertanding pada PRU15 kelak.

Ahmad Zahid yang juga presiden Umno berkata, parti itu juga belum mengenal pasti kawasan akan ditandingi.

“Belum ada keputusan dibuat, belum ada kawasan dikenal pasti. Jauh daripada mengenal pasti calon. Maka perkara itu (siapa bertanding di mana) belum timbul lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim dan penyerahan bahagian angkat  di Tanjung Malim, hari ini.

Zahid mengulas kenyataan Mohamad ketika merasmikan mesyuarat Umno cawangan Sri Kota semalam yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15 kelak.

Selain itu, Zahid juga berkata BN, UMNO, PAS dan PPBM sudah membentuk 1 jawatankuasa perunding bagi membincangkan agihan kerusi menjelang PRU akan datang.

“Apabila tiba masa, setelah penyelesaian peringkat parti masing-masing maka jawatankuasa ini akan duduk berbincang mengenai pembahagian kerusi dan hanya akan dimuktamadkan oleh presiden parti masing-masing,” katanya sambil menambah setakat ini belum ada perbincangan terperinci dibuat.