Tiada potongan bekalan elektrik jika ada tunggakan 6 bulan

0
2

BEKALAN elektrik di premis pengguna domestik di Semenanjung dan Sabah yang mempunyai tunggakan kurang enam bulan, tidak akan dipotong sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2021, umum Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu hasil kerjasama dan persetujuan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang bakal memberi manfaat kepada 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 500,000 pengguna domestik di Sabah yang layak.

“Kategori pengguna ini akan diberi kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran selama enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Putrajaya.

Shamsul Anuar berkata, pengguna yang mempunyai tunggakan melebihi enam bulan pula boleh berunding dengan TNB dan SESB untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi mengelak pemotongan bekalan elektrik.

“Kita faham kesan kepada TNB tapi kita juga faham apa yang sedang dihadapi rakyat. Maknanya kita mengambil jalan tengah untuk menjaga kewangan di TNB dan melihat keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga akan meminta TNB untuk mengaktifkan kaunter-kaunter di kedai tenaga bagi membolehkan rakyat berurusan dengan mudah.

Shamsul Anuar berkata ia merupakan inisiatif tambahan untuk rakyat yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan kesan daripada pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here