BERANG tunangnya memutuskan hubungan, seorang lelaki membunuh ibu wanita tersebut dan mencederakan tiga sekeluarga dalam kejadian amuk di Kota Marudu, Sabah malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.15 malam tadi, suspek menetak ibu tunangnya, Habibah Abungon, 68, sehingga mati di rumah mangsa di Kampung Kuyuh, Pitas.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 29 tahun itu pergi ke rumah tunangnya untuk mengajak balik ke kampungnya di Paitan.
Bagaimanapun, wanita itu menolak pelawaan lelaki tersebut dan meminta pertunangan mereka diputuskan.
“Akibat itu, suspek dipercayai bertindak agresif dan mengamuk menggunakan parang.
“Antara yang cedera adalah tunang suspek sendiri bersama adik dan bapanya. Semua mangsa yang cedera berusia 24 hingga 65 tahun,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Izaan berkata, Habibah maut terlentang di dapur dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.
Tiga mangsa yang cedera cedera dihantar ke Hospital Pitas untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Malaysiapost

