Suami isteri mati disyaki minum racun

0
4

MAYAT sepasang suami isteri yang dipercayai membunuh diri sejak tiga hari lalu ditemui di kediaman mereka di Taman BPL, Luyang, Kota Kinabalu, malam tadi.

Mayat pasangan berusia 46 dan 37 tahun itu ditemui jam 9.10 malam selepas jiran membuat laporan polis berikutan bau busuk dari dalam rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata berdasarkan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota polis dihantar ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Katanya, sebaik tiba, rumah mangsa didapati berkunci sehingga memaksa polis menggunakan tangga untuk melihat persekitaran dalam rumah menerusi tingkap.

“Hasil pemeriksaan, mendapati dua orang terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai sudah meninggal dunia.

“Pegawai penyiasat kemudian mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memecahkan pintu rumah mangsa,” katanya dilapor Berita Harian.

Habibi berkata, pasukan paramedik jabatan kesihatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dipercayai membunuh diri.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah boleh dikaitkan sebagai punca kematian kedua-dua mangsa.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui sejenis cecair racun berhampiran pasangan terbabit yang dipercayai diminum oleh kedua-dua mangsa.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Difahamkan, pasangan terbabit mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun dan sebelum kejadian anak mereka dibawa ke rumah nenek di Luyang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here