KKM akui ada pesakit, petugas Hospital Serdang positif Covid-19

0
2

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, mengesahkan terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan pesakit dan petugas kesihatan di Hospital Serdang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini melibatkan 29 petugas perubatan dan 28 pesakit, di mana semua mereka telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Siasatan Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) dan Hospital Serdang telah mengenalpasti punca jangkitan dan tindakan kawalan dilaksanakan serta merta bagi membendung penularan jangkitan ini.

“Pengurusan rawatan pesakit di Hospital Serdang masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, semua petugas dan pesakit Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) yang dijangkiti Covid-19 dirawat di wad dan berada dalam keadaan stabil.

Menurut beliau, HTAR dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang giat bekerjasama menyiasat punca jangkitan dan mengenalpasti kontak rapat kepada kes serta melakukan aktiviti saringan.

“Sehingga hari ini, seramai 72 petugas HTAR menjalani perintah Home Surveillance Order (HSO). Operasi pembersihan dan disinfeksi persekitaran telah dilakukan di HTAR dan akan diteruskan secara berkala.

“Situasi semasa di HTAR ini dalam keadaan terkawal dan perkhidmatan di hospital ini masih diteruskan seperti biasa,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here