Nilam Oshman
PENGARAH, Ellie Suriati Omar mewakili beberapa gabungan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap pengarah kontroversi, Namawee berhubung filem arahannya berjudul ‘Babi’.
Beberapa NGO hadir memberi sokongan iaitu Anak Seni, Semangat Gelombang Rakyat dan Penyatuan Ummah Wilayah Persekutuan.
Ellie Suriati yang juga pelakon berkata, kebimbangan ke atas filem terbabit adalah kerana ia kini telah ditayangkan di luar negara yang secara tak langsung memburukkan imej negara dengan menyentuh isu perkauman melampau.
“Betul, yang keluar di platform media sosial hanyalah ‘trailer’ dan bukan filem penuh, bahayanya adalah apakah maksud tersirat yang ingin disampaikan Namawee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.
“Ia mengatakan bahawa filem ini telah dilarang tayangan di Malaysia tetapi dia sendiri tak hantar filem itu kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF).
“Lagi satu tajuk asal untuk mendapatkan SPP iaitu Sijil Perakuan Pengambaran kepada pihak Finas adalah atas tajuk apabila dia menukar pada tajuk ‘Babi’ dan tidak memaklumkan kepada Finas jadi ‘apakah maksud yang tersirat’.
“Ini amat disangsikan niatnya berkaitan perpaduan bangsa dalam negara kita,” katanya kepada media selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di ibu negara.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan sekiranya perbuatan Namawee tidak dibendung, dibimbangi boleh mencetus kacau-bilau dan kecelaruan dalam negara bermula di platform media sosial.
“Filem ‘Babi memberi imej buruk berkenaan tiga bangsa, Melayu, Cina dan India kepada masyarakat antarabangsa apabila ia ditayangkan di luar negara,” katanya.
Selain itu beliau berkata, polis turut terpalit dalam filem tersebut yang dibayangkan telah menyalahgunakan kuasa terhadap pelajar sekolah dalam trailer itu.
“Justeru, saya memohon supaya siasatan dilakukan ke atas Namawee dengan penguatkuasaan seksyen 298 (A) kanun keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998,” katanya.
Beliau bagaimanapun menyarankan kepada polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Finas, SKMM dan LPF untuk menonton tayangan khas filem itu bagi memberi justikasi penilaian adil.
“Jika kandungan filem ini mempunyai unsur-unsur hasutan dan imej buruk yang sengaja diada-adakan serta manipulasi dengan persepsi jahat berkenaan perpaduan bangsa untuk tontonan masyarakat antarabangsa di festival filem luar negara.
“Maka penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan terhadap Namawee,” katanya. -Malaysiapost

