3 lagi kluster baharu hari ini

0
2

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat tiga kluster baharu jangkitan Covid-19 yang telah dikenal pasti hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kluster terbabit melibatkan daerah di Kuala Lumpur manakala satu di Sabah.

“Kluster Jalan Rusa melibatkan daerah Cheras di Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 melalui saringan komuniti di sebuah kawasan kediaman bermula awal Disember.

“Saringan ini dijalankan selepas satu kes positif dikesan di kalangan penduduk pada penghujung bulan November 2020. Sehingga 17 Disember, sejumlah 1,267 individu telah disaring, di mana 129 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Tapak Bina Pasifik pula melibatkan daerah Lembah Pantai di Kuala Lumpur dan kes bagi kluster itu telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 12 Disember melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan.

”Sehingga 17 Disember, sejumlah 159 individu telah disaring, di mana 17 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, bagi Kluster Maringkan melibatkan daerah Telupid dan Ranau di Sabah yang mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-70580) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Disember melalui saringan individu bergejala.

Katanya, sehingga 17 Disember, sejumlah 93 individu telah disaring, di mana 11 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster tersebut.

Sementara itu, terdapat enam kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Benteng PK, Kluster Kapas BJ, Kluster Garden, Kluster Bah Tropicana, Kluster Bah Bercham dan Kluster Mentari. 

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 193 kluster,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here