Nurul Huda Abhar
NEGARA telah merekodkan sebanyak 1,220 kes harian baharu jangkitan Covid-19, hari ini dan menjadikan Jumlah kumulatif kes positif sebanyak 89,133.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan enam membabitkan kes import manakala 1,214 kes penularan tempatan.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 368 kes (30.2 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 247 kes (67.1 peratus) adalah dari kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melaporkan sebanyak 297 kes (24.3 peratus) dan Sabah sebanyak 184 kes (15.1 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 135 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (98 kes), Kluster Tembok (36 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes).
Katanya, terdapat pertambahan tiga kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 432 kes.
“Sehingga kini, terdapat 106 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 53 kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya. – Malaysiapost

