KERAJAAN Perak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) membabitkan jumlah keseluruhan RM 11.8 juta.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, berkata peruntukan itu selari dengan titah hasrat Sultan Perak Sultan, Nazrin Muizzuddin Shah yang prihatin untuk meringankan beban rakyat.
“Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Pelantikan Menteri Besar telah menitahkan supaya kerajaan negeri merintis jalan bagi mengurangkan ketegangan dan perbalahan politik kerana ia hanya akan memangsakan kehidupan rakyat.
“Sesungguhnya, keprihatinan Paduka Seri Tuanku terhadap untung nasib rakyat, menjadi ibrah dan panduan kepada saya serta seluruh lapisan pentadbiran.
“Ia untuk memastikan kerajaan hari ini sentiasa menegakkan prinsip keadilan, membina kerukunan serta berusaha sedaya mungkin memenuhi keperluan ekonomi dan sosial rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2020 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Saarani berkata, kerajaan juga bersetuju agar semua Adun dijemput hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah. -Malaysiapost

