STADIUM Ffira Mikah di Kuala Nerang, Kedah yang tular sebelum ini menjadi tajuk berita di luar negara.
Nama stadium mini yang didakwa diterbalikan dari nama seorang pegawai itu menjadi berita akhbar dalam talian di United Kingdom iaitu The Independent.
Artikel berkenaan yang bertajuk ‘Malaysian official who renamed stadium denies title is his name backwards, insists it is Spanish or Greek’ diterbitkan sejak semalam dan mula dikongsikan kembali netizen-netizen di negara ini.
Ia bagaimanapun difahamkan hanya melaporkan kembali penafian pegawai berkenaan mengenai isu dan juga penjelasan maksud sebenar di sebalik nama stadium itu.
Terdahulu, individu yang didakwa nama diterbalikkan itu dikenali sebagai Hakim Ariff Md Noor.
Beliau yang juga Pegawai Daerah Padang Terap menjelaskan nama itu mempunyai maksud yang tersirat dan nama stadium berkenaan telah pun ditukar kembali kepada Stadium Mini Kuala Nerang. -Malaysiapost

