Tetapkan harga siling vaksin Covid-19

0
3

[PARLIMEN] HARGA siling vaksin Covid-19 perlu ditetapkan, termasuk kos perundingannya sebelum dijual di pasaran.

Datuk Jalaluddin Alias (BN – Jelebu) berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara ini kerana pada November lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan harga maksimum yang ditawarkan kepada Malaysia menerusi pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, Covax adalah RM87.60 bagi setiap satu dos vaksin.

Berdasarkan Fasal 14, Rang Undang-Undang Kewangan 2020 menjelaskan tujuan pindaan Seksyen 46, Akta Cukai pendapatan 1967 adalah bagi menguatkuasakan langkah-langkah cukai pendapatan individu.

“Pindaan fasal berkenaan adalah bertujuan menaikkan had potongan perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas atau penyakit serius termasuk rawatan kesuburan dan vaksinasi serta penjaga ibu atau bapa daripada RM5,000 kepada RM8,000.

“Antara program vaksinasi yang termasuklah dalam pelepasan cukai berkenaan termasuklah vaksin Covid-19 di mana ia terhad kepada RM1,000 iaitu sebahagian daripada pelepasan cukai pendapatan maksimum sebanyak RM8,000.

“Jadi timbul persoalan dalam hati saya adakah harga jualan akhir vaksin Covid-19 termasuk caj konsultasi atau perkhidmatan adalah lebih tinggi daripada disebutkan oleh YB Rembau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kewangan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

November lalu, Khairy mengumumkan harga maksimum yang ditawarkan kepada Malaysia menerusi pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, COVAX ketika ini adalah AS$21 (RM87.60) bagi setiap satu vaksin.

Khairy ketika mengumumkan perkara itu berkata rundingan dengan COVAX mengenai proses perolehan vaksin kini berada di peringkat terakhir.

Perbincangan yang turut membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Peguam Negara itu sedang meneliti beberapa klausa perjanjian dalam COVAX. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here