SEORANG jururawat wanita yang berkhidmat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, menjadi mangsa keenam yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Kelantan.
Mangsa berusia 52 tahun itu adalah Ketua Jururawat Unit Rawatan Rapi (ICU) Pembedahan HUSM disahkan meninggal dunai jam 10.15 malam tadi.
Ibu kepada dua cahaya mata itu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.
Memetik laporan Malaysiakini, wanita itu didapati positif ketika melakukan aktiviti mengesan kontak rapak Kluster Hilir berkaitan HUSM.
Mangsa disahkan positif Covid-19 pada 7 Disember lalu selepas ujian saringan kali ketiga dijalankan terhadapnya.
Wanita itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nilam Baru, Kota Bharu jam 11 pagi ini dengan diiringi beberapa ahli keluarga terdekat selain diuruskan oleh Unit Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan serta kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.
Difahamkan, suami dan anak-anaknya masih lagi menjalani kuarantin kendiri di kediamannya.
Sehingga kini, Kluster Hilir merekodkan sejumlah 27 kes positif dengan daripadanya masih dirawat termasuk seorang di wad ICU, manakala 22 lagi disahkan sembuh. – Malaysiapost

