Shahril tegur Ku Li

0
2

Fitri Nizam

TINDAKAN terang-terangan mengumum, mengajak ke arah sesuatu tindakan dasar tanpa izin dan bertentangan dengan parti tidak boleh menjadi ‘normal baharu’ politik Umno, kata Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.

Walaupun tidak menamakan sesiapa namun teguran diberikan pemimpin muda Umno itu dilihat ditujukan kepada Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Shahril berkata, sebagai orang muda beliau amat menghormati orang lama dalam parti.

Bagaimanapun, menurutnya, beliau tidak faham apa keperluan individu yang dinamakan sebagai Ahli Parlimen Umno yang senior, berpengaruh dan bertaraf penasihat tanpa segan silu membuat sidang media bersama pembangkang.

“Kesannya bukan kecil, ia mengelirukan orang di bawah berhubung apa stand (pendirian) Umno. Ia juga tak menghormati disiplin parti yang memutuskan untuk sokong Belanjawan.

“Tak menghormati disiplin parti dengan melaksanakan sidang media politik bersama pemimpin besar parti lawan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Ku Li dilaporkan membuat sidang media bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menawarkan khidmat untuk memimpin negara susulan dakwaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang pada bacaan ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, dakwaan itu terbukti tidak menjadi kenyataan apabila Belanjawan 2021 diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh 111 sokongan manakala pembangkang mendapat 108 sokongan.

Menurut Shahril, soal setuju atau tidak terhadap sesuatu dasar dan pendekatan adalah lumrah dalam mana-mana organisasi.

“Boleh suarakan pandangan pada saluran sebetulnya. Jika mahu suarakan terbuka di media sekali-sekala pun barangkali boleh diterima.

“Ahli politik mana yang tak kadang-kala sedikit ‘nakal’? Ahli politik mana yang tidak ada pendirian tertentu? Itu perkara biasa dan mewarnai pentas politik mana-mana negara dan parti,” katanya.

Beliau berkata, tindakan seumpama itu tidak boleh dibiasakan, dibudayakan atau menjadi normal baharu politik Umno.

“Sebab itu saya suarakan perkara ini, supaya insiden semalam tidak berlalu seolah tiada apa-apa luar kelaziman yang berlaku. Ia mesti dihentikan,” katanya.
-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here