MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz melahirkan rasa syukur susulan Belanjawan 2021 diluluskan menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat hari ini.
“Syukur ke hadrat Illahi dan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak atas sokongan anda dalam menyokong dan meluluskan #Belanjawan2021.
“Belanjawan ini adalah untuk kemakmuran kita semua dan dengan izin-Nya, Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik demi kesejahteraan Rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata, Belanjawan itu dibuat demi kepentingan rakyat, terutama dalam menghadapi masa yang mencabar ketika ini.
“Meluluskan Belanjawan hanyalah satu langkah, dan pelaksanaannya akan menjadi kuncinya (membantu rakyat). Yakinlah kerajaan bersedia dan komited untuk melaksanakannya,” katanya.
Beliau turut menulis pantun empat rangkap iaitu:
Lagenda diangkat dalam hikayat,⠀
Hang Tuah perwira tiadalah tara;⠀
Satukan semangat teguhkan Rakyat,⠀
Menang bersama Belanjawan Negara.⠀
Terdahulu, bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan dengan undian belah bahagian yang menyaksikan seramai 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 108 tidak bersetuju.
Usul yang dibawakan Tengku Zafrul itu disokong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Undi belah bahagian dilaksanakan susulan usul Ahli Parlimen blok pembangkang yang bangun melebihi 15 orang. – Malaysiapost

