Muhammad Mustakim Ramli
HASRAT bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menerajui negara tidak kesampaian apabila bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengucapkan tahniah kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana antara individu yang memperjuangkan belanjawan untuk rakyat itu diluluskan.
“Tahniah YAB PM (Perdana Menteri),YB Presiden Umno/ Pengerusi BN (Barisan Nasional) dan muafakat majlis presiden presiden gabungan Kerajaan PN (Perikatan Nasional) serta rakan seperjuangan Ahli Parlimen yang telah memperjuangkan bajet untuk rakyat dan diluluskan hari ini,” katanya.
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula berkata, sepanjang proses berlangsung, beliau menyaksikan bagaimana Ahli Parlimen pembangkang memainkan ‘falsafah’ mereka iaitu, ‘consistently inconsistent’.
“Hari ini, Rang Undang-undang Perbekalan untuk bacaan kali ketiga juga diluluskan Dewan Rakyat, menerusi undian belah bahagian, 111 vs 108.
“Semasa memutuskan Belanjawan 2021 pada bacaan kali kedua, pihak pembangkang gagal memperolehi kuoram 15 orang Ahli Parlimen untuk mengadakan undian belah bahagian dan lantaran itu mereka telah dikritik hebat kerana cakap tak serupa bikin,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pula melahirkan rasa bersyukur dengan keputusan berkenaan.
“Ahlhamdulilah, selesai perjalanan panjang Belanjawan 2021. Keputusan akhir 111 vs 108. Ada dua hari lagi sidang sebelum balik kampung,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan pula mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kejayaan Belanjawan 2021 diluluskan.
“Untukmu rakyat, kerajaan pasti akan pastikan keadilan dalam pengagihan dan pelaksanaan. Terima kasih semua,” katanya. -Malaysiapost

