TAWAR hati, mahu segera suami lafazkan cerai, kata pelakon Nadia Brian mengenai isu pergolakan rumah tangga dengan suaminya, Muizz Nasruddin.
Nadia memaklumkan dia berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan segera.
“Saya harap semua ini dapat diselesaikan cepat supaya masing-masing boleh teruskan kehidupan. Tak nak simpan perasaan dendam yang tak habis,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Dalam pada itu, Nadia turut menafikan sekeras-kerasnya dia curang terhadap suaminya sepanjang perkahwinan mereka.
“Biar Allah saja tahu perkara yang sebenar. Mengenai curang saya menafikan sekeras-kerasnya. Saya tidak curang sepanjang tempoh perkahwinan dengan Muizz,” katanya.
Nadia berkata, Muizz memang sudah failkan perceraian di mahkamah dan mereka kini menunggu tarikh untuk ke mahkamah.
Terdahulu media melaporkan Muizz sudah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 2 Oktober lalu selepas mendakwa melihat Nadia bersama seorang lelaki di bilik hotel di Cyberjaya.
Muizz berkata, sekiranya dia terus berdiam diri dan tidak menceraikan isterinya, dia akan dianggap sebagai lelaki dayus.
Isu pergolakan rumah tangga pasangan terbabit hangat diperkatakan sejak Oktober lalu.
Nadia dan Muizz diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 9 November tahun lalu. – Malaysiapost

