Kumpulan dakwa ahli PAS desak kaji kerjasama dengan Bersatu

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

SEKUMPULAN penyokong yang mendakwa sebagai ahli PAS hari ini berkumpul dan menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut di ibu negara, mendesak mengkaji semula kerjasama parti itu dengan Bersatu.

Jurucakap yang tidak mendedahkan identitinya itu mendakwa beliau berbincang dengan akar umbi PAS mendesak pimpinan PAS untuk mengkaji juga penyertaan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Mohon diadakan juga Muktamar PAS Khas mengenai kerjasama di dalam PN dengan Bersatu… jangan buat keputusan hanya membabitkan dua, tiga pimpinan sahaja.

“Kami juga mahu memperkukuh Muafakat Nasional (MN) saja, kami juga mahu kenyataan media dalam isu tertentu dikeluarkan parti dan bukannya individu tertentu seperti terjadi dalam isu di Perak.

“Dedahkan juga kepada ahli dan penyokong PAS di bawah ini lambang apakah yang akan digunakan dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke 15) nanti. Adakah PN atau lambang bulan?,” katanya, hari ini.

Malaysiapost sebelum ini melaporkan, ahli dan penyokong PAS akan berkumpul di ibu pejabat parti itu bagi mendesak kepimpinan PAS supaya kekal dalam MN.

Menurut individu yang terbabit dengan program itu, pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada pucuk pimpinan parti.

“Kita ingin menyampaikan suara akar umbi parti yang mahu Umno kekal berada dalam MN dan menolak kerjasama bersama Bersatu.

“Kerana kita sudah selesa dan yakin dengan kekuatan yang dibina bersama dalam MN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here