5 EXCO Perak angkat sumpah petang ini

0
3

LIMA lagi EXCO kerajaan negeri dijadualkan mengangkat sumpah hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini, jam 5 petang ini.

Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, berkata lantikan itu perlu disegerakan berikutan pembentangan belanjawan negeri dan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berlangsung, esok.

“Pagi ini, sesi pertemuan mengambil masa 45 minit bersama (Presiden PAS, Datuk Seri) Abdul Hadi (Awang) dan juga Menteri Perak yang menghadap serta memohon perkenan Tuanku untuk dapat dilangsungkan istiadat mengangkat sumpah lima lagi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Memahami keadaan itu, baginda memberikan perkenan untuk majlis angkat sumpah lima ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dilangsungkan di Istana Kinta, jam 5 petang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di hadapan Istana Kinta, hari ini selepas Abdul Hadi dan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad menghadap Sultan Perak.

Mohd Annuar berkata, majlis angkat sumpah akan dilangsungkan dengan kehadiran Saarani; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim.

“Dalam suasana pandemik Covid-19, baginda memperkenankan untuk mengadakan majlis seringkas mungkin.

“Pemberita tidak dibenarkan untuk (menghadiri) majlis angkat sumpah kerana kita menghormati perintah penjarakan fizikal,” katanya.

Katanya, selain itu, tidak ada lagi pertemuan untuk menghadap baginda pada petang ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here