Pendeposit TH diminta kemaskini maklumat peribadi

0
3

PENDEPOSIT Lembaga Tabung Haji (TH) diingatkan supaya mengemas kini maklumat peribadi masing-masing jika terdapat sebarang perubahan alamat, nombor telefon dan penamaan waris.

Pengarah Eksekutif (Haji) TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, proses kemas kini bertujuan memudahkan TH untuk menghubungi pendeposit selain mengelak kes surat tawaran tunai haji tidak diterima kerana bertukar alamat.

Katanya, surat tawaran tunai haji bagi tahun depan akan dikeluarkan sebaik pihaknya menerima ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan pelaksanaan ibadah haji.

“TH masih belum menerima sebarang pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan perincian musim haji tahun 1442H/2021M.

“Bagi memudahkan proses kemas kini maklumat peribadi, pendeposit TH juga digalakkan untuk mendaftar aplikasi perkhidmatan THiJARI (www.thijari.com.my) untuk membolehkan bakal haji menyemak pendaftaran haji, status tawaran haji, jadual penerbangan serta pelbagai perkhidmatan lain seperti urusan pindahan simpanan, semakan baki dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, proses kemas kini boleh dilakukan di mana-mana pejabat cawangan TH, Pusat Perkhidmatan TH dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

“TH berharap semua pendeposit membuat kemas kini maklumat peribadi masing-masing dengan segera supaya sebarang penyaluran makluman penting dan terkini oleh TH sentiasa dapat diterima,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, pendeposit boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-62071919. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here