PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan tiga pengadil dari negara ini akan bertugas di Maldives bagi mengendalikan perlawanan liga utama negara itu, Dhiraagu Dhivehi Premier League (DDPL).
Liga itu akan berlangsung selama dua bulan dan disertai lapan pasukan, namun tempoh mereka bertugas boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan berdasarkan persetujuan kedua-dua badan induk itu.
Mereka terdiri Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah (pengadil FIFA), Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi (pengadil kebangsaan) dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman (ahli program Akademi Pengadil AFC) yang berlepas ke Maldives pada 12 Disember dan hanya pulang ke tanah air pada 15 Februari 2021.
“Ketiga-tiga pengadil ini telah menjalani ujian calitan pengesanan Covid-19 sebelum berlepas ke Maldives dan akan menjalani tempoh kuarantin mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebaik mereka pulang nanti.
“Undangan daripada Persatuan Bolasepak Maldives ini sebahagian usaha kerjasama FAM bersama persatuan bola sepak negara lain bagi memberi pengalaman antarabangsa kepada pengadil-pengadil tempatan.
“Ini terutama selepas pengurangan jumlah perlawanan Liga Super dan Liga Premier serta pembatalan Piala Malaysia musim ini, selain persiapan menjelang musim baharu 2021,” kata kenyataan rasmi FAM.
Antara kerjasama FAM dengan persatuan bola sepak negara lain bagi tugasan pengadil, termasuk menghantar pengadil dari negara ini bertugas ke Vietnam, Jepun, Bangladesh dan Timor-Leste sepanjang 2019.
Unit Pengadil FAM akan memantau prestasi ketiga-tiga pengadil ini sepanjang saingan liga di Maldives itu bagi memastikan kualiti kepengadilan mereka sentiasa pada tahap terbaik. – Malaysiapost

