CUBAAN seorang lelaki untuk menyeludup 170 kilogram (kg) daun ketum, gagal selepas ditahan dalam serbuan Op Benteng di Jalan Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, anggota polis mengekori sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menyedari keadaan itu, katanya, pemandu berusia 23 tahun keluar dari kereta dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.
“Hasil pemeriksaan dalam kereta itu menemui 17 bungkusan hitam mengandungi daun hijau, disyaki daun ketum.
“Ia diletakkan di dalam but belakang dan tempat duduk kereta,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Abdul Ghani berkata, lelaki itu dipercayai menetap di Padang Besar dan anggaran berat daun ketum berkenaan adalah 170 kg bernilai RM5,100.
Beliau berkata, polis merampas kereta tersebut yang dianggarkan bernilai RM13,000 untuk membantu siasatan.
“Kita tidak menolak berkemungkinan daun ketum itu untuk diseludup ke negara jiran, namun siasatan masih dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – Malaysiapost

