Isu royalti: Altimet letak jawatan

0
3

PERSATUAN Karyawan Malaysia (Karyawan) terkejut dengan peletakan jawatan Ahli Lembaga Pengarah Recording Performers Malaysia (RPM), Altimet, Jumaat lalu.

Altimet dilaporkan mengambil tindakan demikian berikutan kemelut isu royalti yang membelenggu badan kutipan royalti tersebut.

Penyanyi itu dikatakan kecewa apabila usahanya menemukan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dengan barisan tertinggi RPM bagi mencari penyelesaian isu royalti ditolak.

Altimet berkata, dia telah menyatakan hasrat tersebut kepada Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid dan tiga Ahli Lembaga Pengarah iaitu Jaclyn Victor, Ana Raffali dan Aniu.

“Masa untuk saya menjadi Ahli Lembaga Pengarah RPM sudah tamat. Tiada apa lagi yang mampu disumbangkan secara produktif dalam RPM.

“Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan, lebih baik saya digantikan dengan orang yang boleh memberikan manfaat,” katanya.

Sementara itu, Freddie menerusi kenyataan mengakui terkejut dengan berita peletakan jawatan Altimet selepas keengganan Ahli Lembaga Pengarah RPM bertemu dengannya untuk menyelesaikan masalah.

“Karyawan memiliki ramai ahli dalam RPM yang berpengalaman dan boleh membantu dalam menyelesaikan masalah pengagihan royalti, tetapi ditolak oleh Ahli Lembaga Pengarah RPM lain.

“Dengan perunduran Altimet, kini tinggal empat ahli lembaga iaitu satu jumlah yang begitu kecil dan terdiri daripada mereka yang tidak berpengetahuan luas mengenai pengagihan royalti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here