JAMINAN hanya bermaksud menjamin bekalan air kepada Pulau Pinang, bukan jaminan bekalan air mentah secara percuma selama-lamanya, ujar Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut beliau, perjanjian pada 1985 itu hanya menjamin bekalan air dari Ulu Muda yang terletak di negeri Kedah, justeru kerajaan negeri berhak menuntut caj air mentah kira-kira RM50 juta setahun daripada Pulau Pinang.
Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, Sanusi menjelaskan tiada pihak yang dapat menafikan bahawa sumber air yang mengalir dalam Sungai Muda bermula di ‘hulu’ Sungai Muda iaitu di dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, negeri Kedah Darul Aman.
“Sumber air tersebut berasal dari kawasan tadahan air yang memerlukan pengekalan dan kelestarian kawasan tersebut untuk menjamin bekalan air yang mencukupi kepada 4.06 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
“Ini bermaksud, sumber air tersebut berpunca dari kawasan tadahan yang melibatkan sebahagian besar tanah dalam wilayah Negeri Kedah, sebelum mengalir menerusi Sungai Muda merentasi Kedah, melewati negeri Pulau Pinang sebelum memasuki Selat Melaka,” katanya, hari ini.

Menurut beliau, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengekstrak 80 peratus sumber air mereka dari Sungai Muda setiap hari iaitu 1,100 juta liter sehari (mld).
Tambahnya, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) mengenakan caj kepada pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi setiap meter padu yang diekstrak (800 mld) bagi tujuan membekalkan bekalan air terawat kepada seluruh rakyat Kedah.
“Kenaan caj yang sama patut dikenakan kepada pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang yang mengekstrak setiap meter padu menggunakan sumber air berasal dari Sungai Muda.
“Walaupun sumber air yang diekstrak adalah di sebelah sempadan negeri Pulau Pinang tetapi sumber asal air tersebut adalah dari Sungai Muda di Kawasan Tadahan Ulu Muda,” jelasnya.
Sementara itu, Sanusi berkata, Perjanjian 1985 itu perlu disemak semula memandangkan keperluan bekalan air semakin meningkat di samping keperluan kepada pembangunan dan pengekalan kelestarian alam semulajadi.
“Apabila wujud kos untuk penyelenggaraan sumber dan aliran, sewajarnya kos itu turut dipikul oleh Pulau Pinang selaku pihak penerima faedah.
“Apatah lagi, kos melepas akibat pengekalan kawasan tadahan di Ulu Muda semakin hari semakin meningkat,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Akta Industri Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA 2006) atau Akta 655 yang diluluskan di Parlimen telah membawa reformasi besar-besaran dalam bidang pengurusan dan pembiayaan bekalan air di seluruh negara.
Selain itu, katanya dari perspektif keadilan sosial, pihak PBAPP perlu bersama-sama bertanggungjawab memastikan sumbangan kepada rakyat benar-benar dapat disumbangkan daripada sumber yang betul dan bertindak adil kepada agensi-agensi pemberi perkhidmatan kepada rakyat.
“Dengan demikian, PBAPP patut membayar caj pengekstrakan air dari sumber air mentah negeri Kedah agar manfaatnya dapat dikongsikan secara bersama bagi rakyat di kedua-dua negeri.
“Adalah tidak wajar Kedah perlu korbankan tanah hutan yang luas dan menanggung kos penyelenggaraan sumber dan aliran, sementara Pulau Pinang pula menikmati faedah dan keuntungan secara percuma,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam kenyataan menjelaskan Pulau Pinang tidak akan tunduk dengan kerajaan negeri Kedah yang menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membayar sebanyak RM50 juta setahun bagi caj air mentah di kawasan Ulu Muda.
Menurutnya, kerajaan negeri Pulau Pinang bertegas dengan pendirian itu sejajar dengan hak antarabangsa dalam menggunakan air sungai khususnya ia dari bahagian sempadan negeri ini.
Tambahnya, apa yang dituntut oleh Muhammad Sanusi itu tidak berasas dan beliau mungkin tidak mengetahui mengenai hak dan undang-undang antarabangsa. – Malaysiapost

