Tindakan seorang lelaki yang sedang menjalani kuarantin rumah berjalan-jalan di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Lepas, menyebabkan dia ditahan semalam.
Lelaki berusia 42 tahun itu yang memakai gelang berwarna putih dipercayai tag kuarantin Covid-19 kemudian dikompaun RM1,000i kerana ingkar arahan kuarantin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan berkata polis menerima aduan daripada seorang pemilik gerai di ruang pameran itu mengenai kehadiran lelaki terbabit, jam 5.45 petang.
Sebelum itu, katanya, menyedari pemilik gerai melihat gelang dipakainya, lelaki terbabit beredar dari kawasan itu.
“Pemilik gerai kemudian menahan lelaki terbabit sebelum diserah kepada polis bagi tindakan lanjut, ” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Anbalagan berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Kulim, Kedah.
“Saringan awal ujian Covid-19 terhadap lelaki itu didapati negatif.
“Lelaki terbabit diarah menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dan perlu hadir saringan susulan pada 10 Ogos ini,” katanya.

