HSB mohon orang ramai derma darah

0
2

HOSPITAL Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah memohon ihsan orang ramai menderma darah bagi menampung bekalan yang semakin berkurangan sejak Covid-19 melanda negara ini.

Menerusi kenyataan, Ketua Jabatan Perubatan Transfusi HSB, Dr Siti Nadiah Abdul Kadir, berkata penularan wabak itu menyebabkan berlakunya penurunan kutipan darah selain kebimbangan daripada kalangan penderma darah.

Katanya, keperluan darah meningkat baru-baru ini berikutan peningkatan jumlah kes pembedahan elektif dan kes lain yang memerlukan transfusi darah.

“Ketika pandemik berlaku penurunan kutipan darah kerana banyak institusi pengajian awam dan swasta yang ditutup.

“Jumlah penderma darah di Unit Pendermaan Darah juga semakin berkurangan, tanpa stok darah yang mencukupi, proses merawat pesakit mungkin terjejas,” katanya.

Dr Siti Nadiah berkata, proses derma darah mudah dan hanya mengambil masa 30 hingga 45 minit dan setiap satu penderma darah mampu menyelamatkan tiga nyawa.

Katanya, kriteria asas penderma adalah berumur antara 17 hingga 60 tahun, sihat tubuh badan, tidur melebihi lima jam dan tidak mengambil ubat terlarang serta memiliki berat badan 45 kilogram ke atas.

“Justeru kami berharap lebih ramai orang dapat tampil membantu menderma darah dalam masa terdekat ini.

“Individu yang ingin berbuat demikian boleh hadir ke Unit Pendermaan Darah HSB atau Pusat Darah Wilayah di sebelah Penjara Alor Setar dan sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi talian 04-7406051,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here