Silap kita yang begitu memuja ‘ustaz selebriti’

0
3

Aiman Hanif

PENDAKWAH, dai’, tabligh atau apa saja gelaran, mereka adalah individu yang membawa imej Islam di mata masyarat. Mereka adalah ikon yang menjadi contoh kepada orang ramai.

Dalam merancakkan dunia dakwah, beberapa stesen TV memperkenalkan program realiti agama yang akhirnya melahirkan “ustaz-ustaz selebriti” atau “pendakwah selebriti” umpama cendawan yang tubuh selepas hujan.

“Title” seperti pencetus ummah (PU) atau dai, memberi nilai tambah kepada ustaz-ustaz dan pendakwah selebriti sehingga ada dalam kalangan mereka mengenakan jumlah bayaran tertentu jika ingin menjemput menyampaikan ceramah atau kuliah agama.

Bahkan ketika ini kita dikejutkan dengan kes seorang peserta program realiti agama, dai yang didakwa kerana kesalahan seksual termasuk rogol dan melakukan hubungan seks luar tabii.

Tidak semua ustaz-ustaz mi segera ataupun ustaz selebriti ini “jahil”. Bahkan ramai yang memiliki ketinggian budi dan akhlak serta ilmu, bahkan beberapa orang bekas peserta program berkenaan sudah berada dalam kategori berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Ada benarnya gesaan pendakwah-pendakwah dan agamawan yang meminta supaya program realiti agama yang berbentuk populis ini dihentikan kerana ia tidak berpegang kepada disiplin ilmu, malah banyak mudarat pada agama berbanding kebaikan.

Bahkan ia juga memberi gambaran buruk serta mencemarkan imej agamawan bila ustaz selebriti ini terpalit dengan perbuatan jenayah yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang dai.

Ya, seorang pendakwah tidak maksum, namun jika dia memiliki ilmu dan akhlak ia akan menjadi perisai yang menyekat daripada melakukan kebaikan. Namun, jika sekadar “title”, tiada ketinggian ilmu dan akhlak, maka mereka hanyut dalam dunia populariti yang akhirnya menjerumus kepada kejahatan.

Tidak dinafikan juga, kejahilan masyarakat kita umat Islam, tidak boleh dinafikan. Masyarakat kita begitu memuja “ustaz-ustaz selebriti” khususnya mereka yang selalu keluar TV. Tambah pula jika ustaz selebriti itu mempunyai rupa paras yang menarik, ia menjadi nilai tambah kepada masyarakat.

Silap masyarakat kita yang terlalu “memuja” mengidolakan ustaz selebriti dan bukannya agamawan yang berilmu dan berakhlak mulia. Sehingga kita membuka peluang kepada mereka untuk melakukan dosa dan kita masih mempertahankan dosa yang dilakukan kerana ketaksuban.

Hendaklah diketahui bahawa faktor yang paling penting untuk pendakwah melaksanakan amanahnya dengan cara yang paling baik dan mendapat taufik Allah SWT ialah mengikhlaskan diri kepada Allah.

Tidak dicampuri dengan sesuatu yang lain seperti riya’, suka menonjol diri dan lain-lainnya.

Para pendakwah mudah terdedah kepada fitnah sekiranya dakwahnya begitu berkesan dan mempesonakan orang ramai serta orang ramai mengelilingi mereka. Oleh itu, mereka hendaklah sentiasa mentajdidkan dan mengikhlaskan niat mereka hanya kerana Allah SWT semata-mata.

Gunalah pendekatan yang terbaik dalam dakwah dan berdebat, iaitu berdakwah dengan cara yang terbaik.

Itulah kewajipanmu manakala pemberian petunjuk dan penyesatan serta pembalasan terhadap kedua-duanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata.

Pendakwah lebih mengetahui keadaan orang yang tidak mahu meninggalkan kesesatan kerana ikhtiarnya yang buruk dan keadaan orang yang mengikut petunjuk kerana dia mempunyai persiapan yang baik.

Apa yang digariskan oleh Allah SWT untuk berdakwah, itulah yang dituntut oleh hikmah dan itu telah cukup untuk memberikan petunjuk kepada orang yang mahu mengikut petunjuk serta menghilangkan alasan daripada orang yang sesat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3868).

Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan kepada kita dalam menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran, serta diberi ilmu dan kefahaman dalam menjalankan setiap apa yang diperintahkan oleh-Nya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here